Organisasi Razzies selaku pihak yang menganjurkan anugerah untuk industri perfileman paling teruk menarik balik Anugerah Razzie yang diberikan kepada Bruce Willis selepas pelakon itu disahkan ada masalah kesihatan dan menghidap aphasia (masalah pertuturan).
Dalam kenyataan yang dikeluarkan Razzies, anugerah itu tidak sepatutnya diberikan kepada seseorang yang menghidap penyakit dan memberi kesan kepada kehidupan mereka.
“Selepas menimbang tara, Razzies kini membuat keputusan untuk menarik balik anugerah ini yang sudah diberikan kepada Bruce Willis kerana penyakit yang dihidapinya.
“Sekiranya seseorang individu itu ada penyakit yang memberi kesan kepada cara persembahannya, kami merasakan bahawa individu itu tidak sepatutnya diberikan anugerah ini,” katanya.
Terdahulu, Razzies tahun ini mencalonkan lapan persembahan lakonan Willis dalam kategori khas yang diberi nama Persembahan Terburuk Bruce Willis dalam Filem Sepanjang 2021.
Razzies kemudiannya mengumumkan watak lakonan Willis dalam Cosmic Sin adalah ‘pemenang’.
Pengasas Razzies, John JB dan Maureen Murphy meluahkan rasa terkesan mereka di atas pencalonan itu.
Rabu lalu, keluarga Willis termasuklah bekas isterinya, Demi Moore mengeluarkan kenyataan mengenai penyakit yang dialami oleh pelakon itu dan hasratnya untuk berehat daripada dunia lakonan.