22 C
Malaysia
Wednesday, December 6, 2023

Anuar Zain Cari Lagu Baharu

IPOH: Mengenali Anuar Zain, penyanyi bersuara dinamik ini cukup sinonim dengan penghasilan produk bermutu.

Biarpun mengambil masa hingga peminat ternanti-nanti, apa yang pasti, bingkisan yang hendak dihadiahkan mestilah menepati ‘piawaian’ sendiri yang mementingkan ketelitian dan kesempurnaan.

Khabar terbaru, penyanyi Keabadian Cinta ini sudah menghubungi Numata iaitu kumpulan komposer tiga beradik dari Indonesia yang sering menyumbangkan karya kepada Anuar untuk mendapatkan ‘material’ baharu.

“Selama ini, kami ‘keep in touch’ dengan Numata yang pernah menyumbangkan lagu Ketulusan Hati, Kau Bunga Cintaku, Cinta Harus Dimiliki selain Lelaki Ini.

“Saya hubungi mereka untuk mendapatkan satu atau dua lagu yang sesuai,” katanya kepada BH Online.

Kali terakhir Anuar tampil dengan lagu baharu adalah pada April tahun lalu di mana penyanyi kesayangan ramai ini merakamkan single Sendiri iaitu runut bunyi bagi drama Single Terlalu Lama.

Anuar mahu lagu baharu yang bakal dirakam mengekalkan konsep balada yang penuh dinamik seperti dimahukan peminat.

“Peminat sukakan balada yang penuh dinamik seperti lagu Lelaki ini. Jadi, saya fikir lebih kepada konsep lagu begitu… Penuh dinamik baik daripada melodi dan lirik,” katanya yang berharap single baharu dapat dirakamkan dalam masa terdekat.

Anuar atau nama sebenar, Shahrul Anuar Zain, 52, sedia menerima karya komposer tempatan asalkan memiliki ciri-ciri yang dimahukan.

“Sebenarnya, saya cuba cari lagu dari Malaysia. Saya masih lagi menunggu beberapa lagu daripada komposer. Jadi, saya terbuka kepada sesiapa sahaja yang mahu menyumbangkan lagu.

“Kita sudah ada beberapa lagu dan masih menunggu lagi beberapa karya lain dari seberang,” katanya kepada BH Online selepas menjayakan Konsert Amal Karena Aku Cinta anjuran Bond Holdings Sdn Bhd dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Sycal Ventures Sdn Bhd di Pusat Konvensyen Antarabangsa Ipoh (IICC) di Ipoh, baru-baru ini.

Yang turut hadir pada konsert amal itu adalah Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Turut berkenan berangkat, Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Konsert amal itu berjaya mengumpul dana sebanyak RM130,000 untuk disumbangkan kepada petugas barisan hadapan di Perak.

Pada malam itu, Anuar mendendangkan sembilan lagu iaitu Kau Bunga Cintaku, Keabadian Cinta, Karena Aku Cinta, Jera, Hanya Milikmu, Jangan Bersedih Lagi, Bila Resah, Lelaki Ini dan Sedetik Lebih.

Berkongsi kisah di sebalik konsert itu, Anuar berkata, idea dicetuskan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid dan Ketua Pegawai Eksekutif Bond Holdings Sdn Bhd, Ong Teng Boon.

“Mereka yang memulakan idea ini untuk membantu keluarga anggota barisan hadapan yang sudah tiada.

“Apabila pengurusan saya dihubungi, saya jatuh hati untuk menerima tawaran ini. Bukan kerana wang, sebaliknya mereka ikhlas bekerjasama.

“Kita rasakan ada ‘vibes’ yang sangat positif untuk memberi bantuan. Jadi, saya bersetuju menerimanya,” katanya.

Mengulas mengenai perkembangan industri muzik tempatan sejak dunia dilanda COVID-19, Anuar bersyukur, sektor kreatif ini masih bertahan biarpun berdepan cabaran.

“Ada sikit-sikit (cabaran) tetapi tidak pernah malap, merudum dan tidak seperti apa yang ramai orang perkatakan.

“Begitu ramai pemain muzik yang cukup aktif, cuma, pada suatu ketika, mereka ‘hibernated’ sebentar.

“Selepas rezeki itu terbuka Oktober lalu di mana kita dibenarkan membuat persembahan. Ramai anak-anak seni dapat bekerja semula termasuk saya.

“Kami sibuk dengan banyak persembahan… Syukur Alhamdulillah,” katanya.

Anuar turut teruja bertemu peminat di Ipoh.

“Sebenarnya, saya cukup terkejut dan berbangga dapat menjayakan persembahan dan membantu menyalurkan sumbangan kepada yang memerlukan.

“Kami mengalami situasi di mana industri buka dan tutup. Tetapi kita faham keadaan itu kerana kita perlu menjaga prosedur operasi standard (SOP) dan situasi semasa sangat tidak membenarkan,” katanya.

Anuar juga teruja melihat ada peminat datang dari jauh seperti Kuala Lumpur, Pahang, Johor, Melaka dan Kedah untuk menyaksikan konsert amal itu.

“Saya rasa cukup bertuah dan terharu. Apabila saya membuat persembahan, masih ada yang berhibur bersama-sama.

“Kita faham selama lebih dua tahun peminat berdepan bermacam-macam larangan dalam tempoh pandemik. Jadi malam konsert amal ini mereka ambil kesempatan untuk berhibur dan membantu orang lain,” katanya.

Selain itu, Anuar yang terkenal dengan lagu balada Sedetik Lebih berkongsi hobi dalam tempoh pandemik COVID-19 iaitu memulihkan kereta klasik.

“Selama dua tahun itu saya tidak berbuat apa-apa, saya seronok bermain dengan kereta klasik.

“Ini sudah menjadi antara hobi saya. Masa diluangkan dengan ‘restore’ kereta lama. Jadi, masa tidak terbuang begitu sahaja dan saya buat apa yang saya suka,” katanya.

Berkongsi keseronokan bertandang ke Ipoh, Anuar memuji manisan cendol yang dinikmatinya di bandaraya ini.

“Sedapnya cendol di Ipoh… Lain rasanya. Mungkin ada sesetengah bahan digunakan berbeza dengan apa yang saya rasa di tempat saya,” katanya.

“Makanan di sini berbeza daripada apa yang ada di Selangor dan Kuala Lumpur. Kalau hendak makan sesuatu yang tradisional seperti chee cheong fun, di sini sangat menakjubkan.

“Semua orang patut ke Ipoh untuk merasai pengalaman makan-makan di sini. Bagi saya, apa yang menyeronokkan adalah definisi 1Malaysia kerana kita tengok rata-rata hubungan pelbagai kaum sangat rapat.

“Kalau kita pergi kedai makan di New Holly Wood atau Vegas di Canning Garden, setiap bangsa duduk sama-sama makan. Bagi saya, ia sangat menarik,” katanya yang tidak ketinggalan menikmati keenakan nasi ‘vanggey’.

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

37FansLike
1FollowersFollow
31SubscribersSubscribe

Covid-19

Malaysia
15,327
Total active cases
Updated on December 5, 2023 7:17 pm

Latest Articles

Skip to toolbar