Penyanyi popular, Anuar Zain belum berkesempatan untuk bertemu dengan cucu saudaranya, Nur Khawla Soleha atas tujuan keselamatan dan kesihatan bayi perempuan itu.
Anuar berkata, dia hanya melihat wajah anak pasangan Syamel dan Ernie Zakri itu menerusi gambar yang dikirimkan.
“Memandangkan negara sedang ‘berperang’ dengan Covid-19, kita harus bersikap sensitif mengenai isu ini. Mungkin selepas Ernie selesai berpantang nanti, saya akan berkunjung bagi melihat cucu saudara saya itu.
“Memang comel wajahnya, putih gebu dan bermata sepet, masih kecil jadi tidak dapat dipastikan mirip wajah Syamel atau Ernie. Insya-Allah, jika diberikan kesempatan nanti pasti saya akan melawat cucu saudara saya itu.
“Kita seharusnya sensitif mengenai isu ini, kadang-kadang kita tak sedar tindakan kita seperti memegang dan mencium bayi yang masih kecil itu membuatkan wajahnya naik ruam dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di majlis Misi Kemanusiaan Syria Care 13.0 dan kerjasama bersama syarikat pengurusannya, Anuar Zain Network di pejabat Syria Care, di sini, semalam.
“Kita harus melakukan sesuatu memandangkan mereka adalah golongan yang teraniaya. Doa mereka yang ditindas tiada hijab. Saya sendiri tidak menyangka akan menyertai misi ini.
“Kami mensasarkan untuk mengutip sekitar RM225,000 untuk disumbangkan untuk misi kemanusiaan kali ini. Oleh itu, saya menyeru semua pihak untuk menghulurkan bantuan. Tidak kisah dalam apa jua bentuk.
“Biarpun sekadar berdoa, itu pun turut dianggap sebagai sumbangan buat mereka yang memerlukan dan ditindas,” katanya.
Sumber : Harian Metro