Kuala Terengganu: Suami isteri sempat ajarkan kalimah syahadah kepada bapa mereka yang terbabit kemalangan sebelum lelaki itu menghembuskan nafas terakhirnya, malam tadi.
Bapa pasangan terbabit, Idris Salleh, 76, maut di tempat kejadian akibat parah selepas motosikal ditunggang berlanggar dengan sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki di Kampung Pulau Bahagia, Manir, di sini, pada 7.30 malam.
Menantu mangsa, Alinawati Husain, 48, berkata, ketika kejadian, bapa mentuanya yang menunggang Honda EX5 dikatakan dalam perjalanan balik ke rumahnya di Kampung Kubang Palas, Telemong, Hulu Terengganu.
“Bapa dipercayai dari bandar untuk pulang ke rumah selepas selesai bekerja. Saya mengetahui kejadian menimpa bapa selepas menerima panggilan telefon daripada seseorang memberitahu bapa kemalangan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Katanya, terkejut dengan berita itu, suami, Abdul Wahid Idris, 54, bergegas ke lokasi kejadian bagi memastikan keadaan bapa.
“Ketika saya dan suami tiba (di lokasi kejadian), bapa masih lagi bernyawa dan kami sempat mengajarnya kalimah syahadah sebelum dia menghembuskan nafas terakhir,” katanya yang tinggal berjiran dengan bapa mentua.
Alinawati berkata, bapanya yang tinggal bersama adik bongsu bekerja sebagai penjaga sebuah tandas awam di bandar ini sejak sebulan lalu selain melakukan kerja kampung.
Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat.
Dalam kejadian itu, seorang lagi mangsa belum dikenal pasti identiti juga menunggang Honda EX5 dikatakan parah dan dikejarkan ke HSNZ.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Wan Mohd Zaki Wan Ismail ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber : Harian Metro
Jangan lupa untuk menekan butang follow dan like di page rasmi kami di Facebook dan Twitter