KUALA LUMPUR: Penyanyi yang mencetuskan fenomena bersama kumpulan Boboy, Naqiu kehilangan bapa tercinta, Mohd Najib Wan Amin di Hospital Serdang, Selangor, akibat masalah jantung dan komplikasi COVID-19, pada jam 6.50 pagi tadi.
Berita itu dikongsi Naqiu yang juga juara musim keenam program realiti, Gegar Vaganza (GV6) di Instagram (IG), sebentar tadi.
Naqiu atau nama penuhnya, Wan Naqiuddin Mohd Najib, berkata bapanya sudah lama bergelut dengan kesakitan.
“Saya reda dengan pemergiannya. Papa sudah lama menahan sakit. Arwah Papa meninggal pada usia 69 tahun.
“Selepas ini, Papa boleh berjumpa Mama,” katanya.

Ketika ini, Naqiu sedang berbincang dengan pengurusan hospital mengenai urusan pengebumian jenazah bapanya.
“Disebabkan pemergian Papa membabitkan COVID-19, banyak prosedur yang perlu dipatuhi.
“Saya harap urusan pengebumian Papa dapat dipercepatkan. Cuma, setakat ini, masih belum diputuskan di mana dan bila jenazah akan dikebumikan,” katanya.
Naqiu menyifatkan arwah bapanya sebagai insan yang sangat positif dan menyokong apa dilakukannya selama ini.
“Selepas Mama tiada, Papalah yang selalu menyokong dan memberi semangat kepada saya. Ini termasuk keputusan untuk kembali aktif menyanyi dan menyertai GV6,” katanya.
Allahyarham Mohd Najib meninggalkan lapan anak.
Pada 3 Januari 2020, Naqiu kehilangan abangnya, Huzaini Hussein akibat jangkitan kuman pada paru-paru.
Sumber : Berita Harian
Jangan lupa untuk menekan butang follow dan like di page rasmi kami di Facebook dan Twitter