Polis menahan seorang penunggang motosikal yang tular menerusi rakaman video ‘pergaduhan’ di Jalan Kuala Kangsar, Perak, Ahad lalu.
Ketua Polis Ipoh Yahaya Hassan, berkata suspek berusia 50 tahun ditahan pada 3 petang semalam, oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.
Beliau berkata, pihaknya turut merampas sebuah motosikal yang disyaki ditunggang suspek semasa kejadian sebagai barang kes untuk siasatan polis.
Katanya, hasil semakan mendapati suspek mempunyai enam rekod lampau bersabit pelbagai kesalahan termasuk narkotik.
“Suspek kini direman tiga hari bermula hari ini sehingga Jumaat depan untuk siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat.
“Kertas siasatan kes ini akan dilengkapkan sebelum dirujuk kepada pihak pendakwaan untuk tindakan lanjut,” katanya.
Terdahulu, video berdurasi 29 saat itu tular dalam media sosial, sejak kelmarin, memaparkan sebuah kereta telah memberhentikan kenderaan itu secara mengejut hingga menyebabkan seorang penunggang motosikal terjatuh.
Pemandu kereta itu juga dilihat keluar dari kenderaannya dan menolak penunggang motosikal berkenaan.
Menerusi kenyataan media semalam, Yahaya berkata, kejadian itu berlaku pada 10.15 pagi iaitu hari sama laporan polis dibuat di mana pengadu ketika itu dalam perjalanan dari arah pekan Ipoh ke Klebang Restu.
“Kejadian itu dikatakan bermula selepas pemandu kereta membunyikan hon ke arah penunggang motosikal yang didakwa menunggang dalam keadaan berbahaya.
“Tindakan itu telah menimbulkan rasa tidak puas hati lelaki terbabit sebelum dia bertindak membaling batu ke arah kereta. Ini menyebabkan pemandu kereta memberhentikan kenderaannya dan berlaku sedikit kemalangan,” katanya.
Sumber : Utusan Malaysia
Dapatkan berita-berita terkini dan viral di page kami. Jangan lupa untuk menekan butang Subscribe, follow dan like di page rasmi kami :
Like : Facebook
Follow : Twitter
Subscribe : Youtube