Kuala Lumpur: Keadaan vokal penyanyi Afieq Shazwan, 25, kini semakin pulih dan dia juga sudah boleh menyanyi dengan baik berbanding selepas sembuh daripada jangkitan Covid-19 pada Mac lalu.
Afieq atau nama sebenarnya Muhammad Shafieq Shazwan Zamros berkata dalam tempoh satu ke dua minggu selepas sembuh daripada Covid-19 itu, memang dia sukar nak menyanyi semula sebagaimana sebelum terkena virus berkenaan.
“Pada mulanya selepas sihat itu, nak menyanyi memang susah dan tak boleh nyanyi nada tinggi. Saya kena sentiasa buat latihan walaupun ketika itu sebenarnya saya hampir nak ‘give up’ sebab rasa sukar sangat hendak menyanyikan lagu-lagu yang pernah dinyanyikan sebelum ini.
“Perasaan saya juga menjadi takut dan lebih gemuruh nak menyanyi sebab terlalu fikirkan boleh ke nanti nak tarik nada tinggi, mesti menyanyi suara dah tak sampai dan macam-macam lagi,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Afieq juga pengacara dan pelakon, dalam melawan perasaan tidak menentu itu kena kuat semangat. Ujarnya, Covid-19 ini takkan hilang dan sudah sedia maklum ada di dalam komuniti kehidupan kita.
“Sekarang, saya pastikan terus buat latihan serta amalkan minum air lemon dengan madu, banyakkan minum air suam dan mendapat rehat yang cukup. Syukur alhamdulillah, kini kesihatan saya semakin beransur baik.
“Saya pun dah tiada rasa takut nak menyanyi serta perasaan gemuruh juga mula dapat diatasi. Inilah pengalaman saya sebagai bekas pesakit Covid-19 dan ia tentu berbeza dengan orang lain,” katanya.
Terdahulu, Afieq dijangkiti Covid-19 pada 3 Mac lalu dengan gejala dialaminya seperti demam, sakit kepala dan badan termasuk tekak berasa pahit akibat serangan virus itu.
Sumber : Harian Metro
Jangan lupa untuk menekan butang follow dan like di page rasmi kami di Facebook dan Twitter