KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menganggap kejayaan enam pelajar Malaysia melanjutkan pengajian ke Harvard College, Amerika Syarikat, sebagai satu pencapaian membanggakan negara.
Sambil mengucapkan tahniah kepada semua bakal pelajar peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Harvard itu, Perdana Menteri turut mendoakan mereka memperoleh kecemerlangan dalam bidang diceburi.
“Anda adalah kebanggaan Keluarga Malaysia,” katanya dalam catatan melalui akaun Facebook beliau, hari ini.
Enam pelajar terbabit ialah Chooi Je Qin dari Johor; Herman Leong Xin Yang dan Ishant Shah (Pulau Pinang); Carisma Michaela Wong (Sabah); Lee Ee Jenn (Kuala Lumpur); serta Alyssa Yap Xin Yi (Sarawak).
Semua pelajar berkenaan akan menamatkan pengajian di Harvard pada 2026.
Seorang daripada penemuduga Alumni Harvard College untuk Malaysia, Wan Nadiah Wan Mohd Abdullah Yaakob, dalam satu kenyataan berkata bilangan pelajar Malaysia yang diterima menuntut di institusi pengajian itu pada kali ini adalah yang tertinggi dalam sejarah negara.
Beliau berkata, mereka dipilih daripada 61,220 pemohon dengan kadar pengambilan pelajar bagi kelas 2026 adalah yang terendah dalam sejarah Harvard, iaitu 3.19 peratus.
Sumber : BERNAMA