22.3 C
Malaysia
Tuesday, October 4, 2022

42 cedera bertempur dengan Israel pada Jumaat terakhir Ramadan

Baitulmaqdis: Jumaat terakhir Ramadan kali ini dicemari pertempuran terkini antara warga Palestin dan polis Israel di Masjid Al-Aqsa di sini hari ini, menyaksikan 42 orang cedera, kata Bulan Sabit Merah Palestin.

Rusuhan itu bagaimanapun tidak menyebabkan kecederaan serius, kata pasukan perubatan itu, sambil menambah seramai 22 mangsa dikejarkan ke hospital.

Polis Israel berkata, tentera memecah masuk ke perkarangan masjid berkenaan selepas perusuh membaling batu dan mercun, termasuk ke arah Tembok Barat, iaitu kawasan suci bagi kaum Yahudi yang terletak di bawah Masjid Al-Aqsa.

Mengikut kenyataan dikeluarkan, pegawai mengerahkan ‘pasukan penyurai rusuhan’ bagi mengekang rusuhan.

Dalam pada itu, saksi dan wartawan AFP berkata, pihak polis melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah.

Pihak polis berkata, tiga suspek diberkas merangkumi dua orang yang bertindak melemparkan batu dan seorang lagi menghasut orang ramai.

“Untuk beberapa jam lalu, kawasan terbabit sunyi dan jemaah Islam memasuki perkarangan dengan selamat,” kata polis.

Situasi terlalu tegang di kawasan yang berada di tengah-tengah kota lama Baitulmaqdis, sebahagian daripada Baitulmaqdis timur yang dirampas Israel.

Dua minggu berlalu, hampir 300 rakyat Palestin cedera dalam pertempuran di perkarangan Masjid Al-Aqsa iaitu tempat suci ketiga umat Islam.

Pencerobohan Israel ke atas kawasan itu dalam bulan Ramadan menimbulkan kebimbangan global.

Namun, negara haram Yahudi itu tetap tegar untuk bertindak ke atas Hamas dan kumpulan jihad Islam yang kononnya cuba mencetuskan pergolakan meluas di seluruh Baitulmaqdis.

Sebagai usaha meredakan ketegangan, Menteri Luar Israel, Yair Lapid berkata, kerajaan komited terhadap status quo di perkarangan itu yang bermaksud, pematuhan kepada konvensyen lama bahawa hanya orang Islam dibenarkan solat di situ.

Kaum Yahudi pula dibenarkan untuk melawat Temple Mount.

Susulan ketegangan yang berlaku baru-baru ini, pemimpin Islam menyuarakan kemarahan terhadap situasi yang berlaku.

Beberapa pemimpin bimbang Israel cuba untuk membahagikan kawasan itu dan mewujudkan ruang di mana orang Yahudi boleh beribadat.

Lapid memberitahu wartawan bahawa rancangan sedemikian langsung tidak wujud.

Sumber : Harian Metro

Jangan lupa untuk menekan butang follow dan like di page rasmi kami di Facebook dan Twitter

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

37FansLike
0FollowersFollow
31SubscribersSubscribe

Covid-19

Malaysia
23,331
Total active cases
Updated on October 4, 2022 12:47 pm

Latest Articles

Skip to toolbar