22 C
Malaysia
Thursday, October 6, 2022

1MDB: Roger Ng didapati bersalah

NEW YORK: Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng didapati bersalah oleh Mahkamah Amerika Syarikat (AS) kerana melakukan konspirasi menyeleweng ratusan juta dolar daripada syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Keputusan oleh juri di negara berkenaan diumumkan oleh Mahkamah di Brooklyn.

Pihak pendakwa raya mengenakan tuduhan berkonspirasi untuk melanggar undang-undang antirasuah dan pengubahan wang terhadap Ng, yang juga satu-satunya pegawai bank syarikat berkenaan dihadapkan ke mahkamah susulan terbongkarnya skandal kewangan terbesar dalam sejarah.

Beliau didakwa membantu bekas ketuanya, Tim Leissner menggelapkan wang 1MDB, mengubah wang dan merasuah pegawai berkaitan untuk mendapatkan perniagaan untuk Goldman.

Ng, 49, sebelum ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.

Peguamnya mendakwa Leissner, yang mengaku bersalah atas pertuduhan sama pada 2018 dan bersetuju membantu siasatan pendakwa raya, secara salah mengaitkan Ng dengan harapan menerima hukuman lebih ringan.

Bagaimanapun, juri mendapati Ng bersalah bagi dua tuduhan berkonspirasi melanggar Akta Amalan Rasuah Luar Negara (FCPA) dengan merasuah dan memintas kawalan akaun dalaman Goldman, serta satu tuduhan berkonspirasi untuk melaksanakan pengubahan wang.

Pendakwa Raya AS bagi Daerah Timur New York, Breon Peace, menyifatkan keputusan itu sebagai satu kemenangan untuk kedaulatan undang-undang dan rakyat Malaysia.

“Defendan dan kroninya tidak melihat 1MDB sebagai satu entiti yang baik untuk rakyat Malaysia, sebaliknya sebagai sebuah ‘bank’ untuk memperkayakan diri mereka sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Ketika keputusan itu dibacakan ketua juri, Ng yang memakai sut jaket dan tali leher hitam, tidak menunjukkan emosi, sebaliknya hanya sesekali memandang juri dan mejanya.

Peguam Ng, Marc Agnifilo memandang ke bawah dengan kekecewaan selepas keputusan bersalah bagi pertuduhan pertama dibacakan.

Hakim Daerah AS, Margo Brodie, kemudian mengarahkan Ng dikenakan perintah berkurung sementara menunggu hukuman dijatuhkan, namun tidak mengkategorikan lelaki itu sebagai berisiko melarikan diri.

Perbincangan berhubung keputusan itu bermula sejak Selasa lalu selepas proses perbicaraan berlangsung di mahkamah persekutuan di Brooklyn selama dua bulan.

Agnifilo memaklumkan Ng mungkin akan membuat rayuan terhadap keputusan itu, bergantung pada hasil usul pasca perbicaraan dan hukumannya.

Peguam itu turut bertegas dengan keputusannya sebelum ini yang meyakinkan Ng untuk menolak ekstradisi untuk berdepan perbicaraan, atas alasan lelaki itu memiliki peluang lebih cerah berdepan perbicaraan adil di AS berbanding Malaysia.

“Kes besar sebegini adalah berat dan amat sukar untuk menang,” katanya.

Pendakwa raya sebelum ini memaklumkan Goldman membantu 1MDB meraih AS6.5 bilion (RM27.4 bilion) menerusi tiga jualan bon, namun AS$4.5 bilion (RM18.9 bilion) daripadanya dialihkan kepada pegawai kerajaan, pengurus bank dan sekutunya menerusi rasuah dan sogokan antara 2009 hingga 2015.

Ng adalah yang pertama, dan mungkin satu-satunya individu berdepan perbicaraan di AS akibat skim itu. Pada 2020, Goldman membayar denda hampir AS$3 bilion (RM12.6 bilion), manakala cawangannya di Malaysia bersetuju untuk mengaku bersalah.

Juri mendengar testimoni daripada Leissner selama sembilan hari, yang mengaku memberi sogokan berjumlah AS$35 juta (RM147 juta) kepada Ng, selain mendakwa Ng setuju membuat cerita mengatakan wang itu adalah hasil perniagaan sah antara isteri mereka.

Isteri Ng, Hwee Bin Lim kemudian membuat pengakuan mengatakan perniagaan itu adalah sah, memaklumkan melabur AS$6 juta (RM25 juta) dalam sebuah syarikat China milik keluarga bekas isteri Leissner, Judy Chan, pada pertengahan 2000, dan wang AS$35 juta itu adalah pulangan daripada pelaburan berkenaan.

Sementara itu, ahli perniagaan Malaysia, Jho Low, yang masih dalam buruan dipercayai sebagai dalang utama di sebalik skim itu, dituduh bersama-sama Ng pada 2018. – REUTERS

Sumber : Berita Harian

Jangan lupa untuk menekan butang follow dan like di page rasmi kami di Facebook dan Twitter

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

37FansLike
0FollowersFollow
31SubscribersSubscribe

Covid-19

Malaysia
22,957
Total active cases
Updated on October 5, 2022 4:31 pm

Latest Articles

Skip to toolbar